THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Monday, February 16, 2009

IsLaM iTu iNdAh...

"“Islam itu indah? Apa sebenarnya yang kamu hendak ceritakan ni? Dalam Islam, kami terkongkong..tak boleh itu tak boleh ini, kena buat itu, kena buat ini, apa yang indahnya dengan Islam? Sebab itu lah kami langgar saja..bila kami tak buat apa yang Islam suruh buat, bila kami buat apa yang Islam larang, waktu itu barulah kami rasa indahnya hidup kami.” komen sekumpulan umat apabila diminta komen berkenaan indahnya Islam.

“Ya Islam itu indah. Dalam Islam, penganutnya ditunjukkan panduan hidup yang paling sesuai berbanding dengan cara hidup yang lain. Dengan mengikut panduan ini, hidup menjadi selamat, mudah, tersusun dan adil. Maka dengan itu, hasilnya kami merasakan hidup kami sentiasa indah. Ditambah lagi dengan tenangnya hidup apabila kami sentiasa mengingat Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Kami tahu, setiap apa yang berlaku, setiap apa yang wujud di dunia ini, semuanya dari Dia. Maka, walaupun ada kesusahan dan musibah berlaku, kami tetap mampu tersenyum, kerana banyak nikmat telah kita dapat daripada Dia, setakat susah sedikit, musibah sedikit, ia tidak terbanding dengan nikmat kesenangan yang terlalu banyak. Sangat indah hidup kami dengan Islam.” komen sekumpulan umat yang lain.


Saudara-saudari sekalian, agaknya kenapa dua pandangan berbeza ini berlaku? Apa yang saya nampak ialah, kerana bezanya cara mereka memandang Islam itu. Kumpulan pertama memandang Islam sebagai suatu kongkongan daripada mendapatkan keindahan hidup, manakala kumpulan kedua memandang Islam sebagai suatu cara mendapatkan keindahan hidup. Dan cara memandang keindahan hidup juga berbeza. Kumpulan pertama memandang kebahagiaan hidup dirinya, itulah indahnya hidup. Manakala kumpulan ke dua memandang kebahagian hidup dirinya, serta orang lain, itulah salah satu keindahan dalam hidup.


Selain itu, pandangan-pandangan kepada Islam itu juga tidak dapat lari daripada keadaan hidup umat Islam itu sendiri. Orang memandang Islam dengan melihat cara hidup umatnya. Sedangkan sepatutnya untuk memandang Islam yang sebenar ialah dengan melihat cara hidup yang sepatutnya diamalkan oleh umatnya. Ini kerana hidup umat Islam sekarang ini tidak lagi seperti hidup umat Islam yang sepatutnya, iaitu seperti pada zaman baginda Nabi Muhammad صلى الله عله وسلام , para sahabat dan beberapa generasi-generasi selapas sahabat. Hidup umat Islam hari ini telah terpengaruh dengan cara hidup yang lain yang mana mereka selesa dan seronok dengan cara itu.


Maka, untuk kita mengindahkan, mencantikkan hidup kita..maka kita perlulah perbetulkan dahulu cara kita memandang Islam itu. Pandanglah Islam sebagai satu cara hidup yang terbaik, yang paling betul dan yang paling sesuai untuk dijadikan cara hidup seharian kita.


Untuk membersihkan pandangan kita terhadap Islam itu, kita perlulah menggilap semula mata hati kita daripada segala kekaburan dan halangan-halangan yang menghalang mata hati kita daripada memandang Islam itu dengan pandangan yang betul.


Untuk menggilap semula mata hati kita, perlulah kita menyemaikan cinta kepada Islam di dalam hati. Untuk kita menyemai cinta kepada Islam, kita perlulah kenali terlebih dahulu apa itu Islam sebenarnya. Apabila cinta kita kepada Islam telah disemai di dalam hati, tanamkanlah pula benih-benih Iman dengan sentiasa mengamalkan apa yang telah kita kenali itu. Apabila telah tertanam benih-benih Iman, iaitu apabila kita telah mengamalkan Islam itu, bajailah takwa pula kepadanya dengan sentasa mengingati Alloh setiap hari.


Mudah-mudahan dengan semua usaha ini, kita dapat mengecapi keindahan Islam itu, kita dapat buahnya hasil daripada semaian, tanaman dan baja kita itu.


InsyaAlloh, saya akan sambung selepas ini, bagaimana sebenarnya cara mengenali Islam, menanam benih-benih Iman dan menabur baja-baja takwa itu. Semoga Alloh panjangkan umur saya untuk menulisnya nanti. Akhir kata buat masa ini, cubalah kita renungkan semula, bagaimana sebenarnya cara kita memandang Islam itu? Berilah jawapan sejujurnya dan nilaikanlah pula betul salahnya jawapan itu.


Cuba ambil salah satu perkara di dalam Islam, kemudian kita nilaikan..bagaimana kita memandangnya. Sebagai contoh, bagaimana kita memandang ibadah Solat? Adakah kita pandangnya sebagai suatu ibadah yang menjadi tiang yang menegakkan hidup kita, lalu kita zahirkan dengan sentiasa cuba menunaikan Solat Fardhu diawal waktu dan menyertai jemaah di surau-surau dan masjid-masjid berdekatan, selain itu kita tambah dengan Solat sunat. Atau adakah kita pandang ibadah Solat itu sebagai suatu ibadah yang tak penting..ibarat alas kaki menjadi tempat pijak di dalam hidup kita, lalu kita zahirkan dengan selalu meninggalkkannya, mengabaikan dengan Solat pada akhir waktu, Solat seperti ayam mematuk padi dan lain-lain lagi.


Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat. Mohon maaf dan sekian, terima kasih.

Sumber: http://elhijrah.wordpress.com/2008/11/20/islam-itu-indah/

"

0 ulasan: