THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Friday, December 11, 2009

Surat Buat Gadisku.....

Segala pujian ku panjatkan kepada Yang Maha Kuasa dan dengan namaNya ku mulai suratku ini. Selawat dan salam ku hulurkan kepada Junjungan Besar Baginda Rasulullah, keluarga dan sahabatnya. Dan dengan panduannya ku atur risalah ini…Khas Untukmu Wahai Gadisku!!!

Sesungguhnya aku tidak tahu benar tentang dirimu wahai Gadisku.. Aku sedar tentang ilmuku tentang tubuhmu tidak lebih daripada pakaian pembalut tubuhmu. Jauh, jauh sekali untuk aku memahami tubuh batinmu yang berupa emosi, fitrah, akal dan jiwa halusmu. Ku akur kekuranganku tentangmu. Maka di awal suratku ini, ku susun sepuluh jari meminta maaf darimu…kalau-kalau penaku terlanjur melukai hatimu atau mencemarkan kesucian fitrahmu atau meleset dari hakikat dirimu.

Aku tahu, sewajarnya orang yang sehormon denganmu yang menulis tentang dirimu. Bukan aku!!!! Orang yang berlainan hormon. Biarpun demikian, aku gagahi jua jari-jariku untuk mencoretkan secebis bingkisan buatmu kerana aku pun tahu yang engkau begitu kepingin menatap coretanku. sementelahan pula aku bukan menyingkap tabir jasadmu, bukan mencungkil rahsia dirimu, apalagi mengoreksi lahir batinmu. Apalah salahku, kalau aku aturkan kata-kataku disini untuk memaparkan cetusan perasaan dan pendapatku yang sering tenggelam timbul dalam benakku. dan kalau sesekali aku tersinggung tentang dirimu berdasarkan nas Tuhanku dan Tuhanmu atau nabiku dan nabimu, kau tentu menerima, bukan?

Wahai Gadisku,

Ketika aku mengingati kalimah berikut ini…………….(wahai sekalian manusia, takutlah kamu akan Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari tubuh yang satu) An-Nisa’ ayat 1. Atau………..(sesungguhnya wanita itu saudara seibu sebapa kaum lelaki) Wanita: Dr Mustafa Assiba’iy m/s 15, riwayat Ahmad……..seringkali aku merungut tentang kejahatan sebahagian lelaki. Mereka tidak ubah seperti binatang atau lebih sesat. Aku tertanya-tanya kemana perginya perasaan simpati mereka terhadap saudara sendiri? Apakah mereka lupa bahawa orang yang tidak bersimpati itu tidak akan dikasihi? Apakah mereka telah ketandusan sifat kemanusiaan mereka atau memang mereka kehilangan sifat itu?……………………Ah, aku cukup jengkel tentang mereka!

Adakalanya aku juga terfikir kenapa perempuan seringkali menjadi mangsa lelaki? dan bukan lelaki menjadi mangsa perempuan? Atau………..lelaki juga menjadi mangsa???????????? Mangsa runtuhan nafsu! Mangsa pengongkolan adat! Mangsa penyakit sosial! Mangsa perempuan jalang! Dan mangsa penipuan dan godaan syaitan! Aku kesal…

Wahai Gadisku

Aku turut bimbang, kau yang ku cintai juga menerima angka giliran pemangsa-pemangsa itu. Umpama ramai gadis-gadis kini yang mula berjinak-jinak dengan jerat pemangsa, akhirnya mereka menjadi mangsa! Paling tidaknya mangsa cinta! Peringkat awalnya hanya mahu main-main cinta kononnya mahu mengecapi nikmat cinta. kemudian terseret ke alam percintaan dan kesudahannya ketagih cinta!!! Sesudah sekian lama, cinta itu menjadi barah yang tidak mampu dirawat lagi. Akhirnya ia terlantar di wad “pesakit cinta”. Aku teringat ungkapan Bapak Hamka dalam sebuah bukunya…………….”cinta itu suatu penyakit tetapi orang yang ditimpanya tidak mahu lagi sembuh! Ganjil bukan?”

Bukan juga kalimat itu. Orang yang diserang demam cinta atau dijangkiti penyakit cinta jangan di usik-usik. Tak usah dirawat-rawat. Nanti orang yang merawat menjadi mangsa korban orang yang sakit cinta. Kenapa? Kerana orang yang ditimpa penyakit cinta merasa segar dengan lamunan cintanya, nikmat dengan khayalan cintanya! Apabila kesegaran dan kenikmatan diceroboh, tentu saja ia akan bangkit mempertahankannya. “MEMPERTAHANKAN HAK PERIBADI” katanya. Padahal kalau dihitung masa bercintanya yang menelan usia bertahun-tahun atau puluhan tahun, tentu kita insaf betapa banyaknya umur muda yang kaya dengan kekuatan minda dan tenaga akan lenyap dalam api cinta yang membakar. Kesiannya! Kesiannya orang itu!!! Dia terpaksa memasuki alam dewasa dengan kekayaan api cinta tetapi kehilangan erti dewasa. Dia hidup dengan bara-bara cinta bersama kekosongan ilmu didada!!!!!!!!!!!

Inilah yang aku takut!!!! Inilah yang aku bimbang!!!!!!!!!!

Jangan-jangan kita juga menjadi mangsa cinta!!!!!!!!!!!!!!

Apatah lagi apabila aku terkenangkan peringatan Tuhan kita Yang Maha Agong di dalam surah Az-Zukhruf (perhiasan) ayat 67 yang bermaksud: “Teman-teman akrab pada hari itu, sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”…….jangan-jangan dikau yang ku cintai di alam ini tanpa restu Tuhan menjadi musuh di akhirat kelak. dan aku yang kau senangi di dunia ini menjadi kejahatanmu di hari kiamat nanti. Oh! Alangkah ruginya jika bercinta sementara merana selama-lamanya!!!

Dan kepahitan yang paling awal ketika itu ialah keterlanjuran yang tidak mampu dikawal iaitu ketika nafsu berkuasa. Saat itu, akal akan kalah dan terpinggir. Aku bimbang dan aku takut kalau-kalau gadisku rebah dalam pelariannya lalu disambar helang kelaparan……….maka ia akan kalah dan gugur di atas kelemahannya sebagai perempuan atau di atas kesilapannya membuka gawang!

Sekali ia kalah dan gugur itu mengandungi 3 kali kalah dan gugur. Kekalahan dirinya sendiri sebagai wanita bermaruah buat selama-lamanya, kekalahan ibu bapanya yang melahir dan membesarkannya dengan keringat dan darah, dan kekalahan zuriatnya untuk menjadi penyambung generasi yang berhemah.

Aku takut cinta bisa memusnahkan harga dirimu dan nilai keperempuananmu sebelum memusnahkan jasadmu dan jiwamu di akhirat.

Wahai Gadisku

Biarlah kita bercinta tanpa berkenalan dan bertemu. semoga kita menjadi dua sejoli di syurga Allah. Biarlah aku tidak pernah mengenali dan melihatmu untuk menghidupkan cinta kita asal saja kita boleh bersama di bawah payunng Allah disaat tiada lagi payung lain selain payungNya.

Bukankah kau juga mahukan nikmat cinta yang abadi? Nikmat sejati? Semoga nikmat cinta kita yang tidak kesampaian hari ini menjadi kenyataan di akhirat nanti.

Biarlah aku menyintaimu tanpa mengetahui namamu siapa. Biarlah aku menyayangimu tanpa mengenali rupa wajahmu. Dan biarlah kau juga seumpamaku………….

Dalam pada itu, aku amat senang mencipta namamu dan melukiskan rangka rupa parasmu. Aku amat senang menamakan kau Fatimah Az-Zahra atau Maryam al-Butuul atau Nasibah atau Rabi’ah Adawiyyah atau Zainab al-Ghazali atau Hamidah qutb dan seumpamanya. Nama-nama seperti ini cukup indah padaku seindah “rupa paras” nya yang menawan.

Biarku petik secebis “rupa paras” mereka itu untuk modelmu.

Nama Rabi’ah Adawiyah sesungguhnya amat cocok dengan ‘rupa paras’ berikut ini:

Suatu hari, Hasan al-Basri bersama 2 sahabatnya bertandang ke rumah Rabi’ah dengan tujuan meminangnya untuk salah seorang daripada mereka. Rabi’ah Adawiyah menyambut hasrat mereka dengan baik tetapi dengan syarat mereka mestilah dapat menjawab soalan yang dikemukakan olehnya. Rabi’ah bertanya: “Berapa banyakkah nafsu lelaki dan berapa pula nafsu perempuan?” Lantas Hasan al-Basri menjawab : “Nafsu lelaki ada satu manakala nafsu perempuan sembilan nafsu”. Lalu Rabi’ah menjawab ” Jika benar demikian,kenapa kamu yang bernafsu satu tidak mampu menahannya sedangkan aku yang mempunyai sembilan nafsu sanggup berbuat demikian? Mendengan jawapan paku buah keras itu, Hasan al-Basri pun berlalu pergi bersama sahabatnya sambil menangis sehingga membasahi janggut.

Thursday, December 10, 2009

BINGKISAN DOA.....

SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA MANUSIA,

TAK SEMESTINYA MANUSIA CINTA KEPADA KITA,

TETAPI SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA ALLAH,

NESCAYA CINTA ALLAH TIADA PENGHUJUNGNYA.

SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA MANUSIA,

KITA AKAN CEMBURU KEPADA ORANG YANG MENCINTAI

ORANG YANG KITA CINTAI,

TETAPI SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA ALLAH,

KITA AKAN TURUT MENCINTAI

ORANG YANG MELABUHKAN CINTANYA KEPADA ALLAH JUGA.

YA ALLAH,

ANDAINYA DIA ADALAH JODOH YANG DITETAPKAN

OLEH-MU KEPADAKU,

MAKA CAMPAKKANLAH DALAM HATIKU CINTA KEPADANYA ADALAH

KERANA-MU,

DAN CAMPAKKANLAH DALAM HATINYA,

CINTA KEPADAKU ADALAH KERANA-MU.

NAMUN,

ANDAINYA DIA BUKANLAH JODOH YANG DITETAPKAN OLEH-MU KEPADAKU,

BERIKANLAH KU KEKUATAN AGAR PASRAH DALAM MENGHARUNGI UJIAN,

YANG KAU BERIKAN KEPADAKU.

YA ALLAH,

JIKA AKU JATUH CINTA,

CINTAKANLAH AKU PADA SESEORANG YANG MELABUHKAN CINTANYA PADA-MU, AGAR BERTAMBAH KEKUATANKU UNTUK MENCINTAI-MU.

YA MUHAIMIN,

JIKA AKU JATUH CINTA,

JAGALAH CINTAKU PADANYA AGAR TIDAK MELEBIHI CINTAKU PADA-MU.

YA RABBANA,

JIKA AKU JATUH HATI,

JAGALAH HATIKU PADANYA AGAR TIDAK BERPALING PADA-MU.

YA RABBUL IZZATI,

JIKA AKU RINDU,

RINDUKANLAH AKU PADA SESEORANG YANG MERINDUI SYAHID DI JALAN-MU.

YA ALLAH,

JIKA AKU RINDU,

JAGALAH RINDUKU PADANYA AGAR TIDAK LALAI AKU MERINDUI SYURGA-MU.

YA ALLAH,

JIKA AKU MENIKMATI CINTA KEKASIH-MU,

JANGANLAH KENIKMATAN ITU MELEBIHI KENIKMATAN INDAHNYA BERMUNAJAT DI SEPERTIGA MALAM TERAKHIR-MU

YA ALLAH,

JIKA AKU JATUH HATI PADA KEKASIH-MU,

JANGANLAH BIARKAN AKU TERTATIH DAN TERJATUH DALAM PERJALANAN PANJANG MENYERU MANUSIA KEPADA-MU.

YA ALLAH,

JIKA KAU HALALKAN AKU MERINDUI KEKASIH-MU,

JANGAN BIARKAN AKU MELAMPAUI BATAS SEHINGGA MELUPAKAN AKU PADA CINTA HAKIKI DAN RINDU ABADI HANYA KEPADA-MU.

Mati hanya sekali jadikannya pada jalan Allah,

Tuesday, August 18, 2009

Kasihku Pada Ramadhan

Ramadhan yang penuh makrifat
Ramadhan ditunggu-tunggu
kembali menjengah hati setiap Muslim
memekarkan keberkatan dan kebesaran
Yang Maha Kuasa

Ramadhan yang menyejukkan hatiku
yang melembutkan kerasku
yang mendamaikan gelodak rasaku
yang menghilangkan amarahku
yang menghadiahkan penghargaanku
buat insan-insan tersayang
yang menambahkan cinta kasihku
pada Yang Satu

Ramadhan
syarul Syiam
berikan aku kekuatan akal, fizikal, hati dan iman
jauhkan aku daripada perkara yang dikeji
yang mengurangkan keberkatan
ya Mutakkabir

Ramadhan
syarul Qiyam
malam-malammu malam terindah dalam hidup
malam-malam yg penuh ibadah
malam-malam yang penuh berkat
lalu,
haruskah aku membiarkan malam-malammu berlalu sepi
tanpa sujud syukurku pada
Ar-Rahman
Ar-Rahim

Ramadhan
syarul Quran
bait-baitmu adalah puisi agung
yang menyuntik penawar terbaik buat hati dan jiwaku
patah perkataanmu adalah keajaiban
adalah mukjizat dengan nikmat yang tertinggi
yang menjadi peganganku
penunjuk arah dalam langkah perjalananku
yang menyalurkan kasih suciku buat Yang Maha Agung

Ramadhan
syarul Tarbiyah
hari-harimu adalah satu didikan buatku
yang menundukkan egoku
yang menghilangkan rasa dendamku
yang menjernihkan segala keruh dihatiku
yang memupuk keinginanku menghayati sifat kekasih Allah
yang mulia disisi-Nya

Ramadhan
syarul Jihad
pada setiap langkahku
setiap degup nafasku
setiap denyut nadiku
setiap detik ingatanku

Islam
adalah matahari bagi hatiku
bulan bagi jiwaku
bintang bagi mataku

Ramadhan
perjuanganku menggapai solehah baru bermula
pertemukan aku pada ketibaan-ketibaanmu yang akan datang
rasa rindu dan kasih ini akan selalu mengiringiku sepanjang waktu
selama mana nafas masih menjadi milikku

YA ALLAH
sesungguhnya Engkau tahu setiap bait puisi hatiku

Tuesday, July 21, 2009

Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia ...


Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan

Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam Berserta Fatihah,
Selawat dan doa Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
Iringi dirimu ke masjid Sebelum kamu diiringi ke Pusara

Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan

Justeru bila Dia menyeru,
sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patok itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat
Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna harta,
Takhta dan putera Isteri,
kad kredit dan kereta Kondominium,
saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.


Pesanan Penting Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

tn guru
Mendoakan orang lain tanpa di ketahui olehnya

Ikhtiar rawatan yang kita lakukan adalah dengan doa-doa dan ia lebih mustajab lagi apabila kita mendoakan mereka sedangkan mereka tidak mengetahui kita mendoakan untuk mereka sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya;
Mafhumnya: Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Berdosa besar menyembunyikan Ilmu

Mempelajari ilmu pengubatan Islam adalah Fardu Kifayah dan ia dituntut supaya ada di kalangan kelompok masyarakat umat Islam mempelajarinya. Ilmu ini tidak boleh disimpan atau dirahsiakan. Adalah berdosa besar menyembunyikan ilmu sebagaimana di sebut oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya;

Mafhumnya: Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian ia menyembunyikannya maka Allah akan rantai di Hari Kiamat nanti dengan rantai daripada api neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)

Mengamalkan Ilmu Perubatan Islam sebagai dakwah

Mempelajari ilmu pengubatan Islam dan mengamalkannya juga merupakan sebahagian daripada dakwah. Dakwah yang paling besar ialah mengajak masyarakat supaya meninggalkan ilmu-ilmu pengubatan yang mengandungi unsur-unsur syirik yang tidak diakui sah oleh Islam seperti yang diamalkan oleh sebahagian daripada pengamal perubatan tradisional Melayu.

Perlu mendapat Ilmu terus daripada guru dan diijazahkan

Ilmu pengubatan Islam mesti dipelajari daripada guru secara terus, anak murid seboleh-bolehnya melihat muka tuan guru ketika menerima ilmu tersebut. Kemudian setelah selesai belajar, guru akan mengijazahkan dengan ilmu pengubatan Islam, sebagai tanda tamat belajar.

Jangan meninggalkan amalan Bacaan Asas 10

Saya ingin berpesan walaupun apa yang berlaku, apabila saudara hendak menjadi perawat atau pembantu perawat, menjadi pengajar, menjadi guru atau sebagainya, pesan saya ialah jangan tinggal langsung Bacaan Asas 10 Pertama dan Kedua. Sekurang-kurangnya itu yang saudara hafal dan amalkan.

Sebab musuh utama kita ialah syaitan dan dia tahu bahawa kita telah belajar ilmu yang boleh menyakiti dia atau tidak menyenangkan dia berada di dalam badan manusia, maka dia dengan sendirinya akan mencari dimana kelemahan yang ada pada kita.

Sebagai satu misalan orang yang belajar ilmu silat, apabila tidak mengamalkan ilmu silat tersebut, tidak berlatih menggunakan tenaganya, mengayakan balik buah-buah silat yang dipelajarinya maka dengan sendirinya lama kelamaan dia menjadi seperti orang yang tidak belajar juga. Saya menggunakan analogi ini untuk menyatakan bahawa dalam bacaan 10 pertama dan kedua itu terdapat ayat-ayat yang memang digunakan khas untuk membantu manusia bagi mengatasi masalah gangguan makhluk halus. Bila diamalkan selalu, insya-Allah ia menjadi senjata yang boleh digunakan sebagai perlindungan dari gangguan makhluk halus yang cuba merosakkan kita.

Bersabar menghadapi cubaan dan dugaan

Bila beramal dengan ilmu-ilmu pengubatan Islam ini, saudara pasti akan berjumpa dengan halangan-halangan kerana “Tidak ada suatu yang baik melainkan ada halangannya, itu adalah perkara biasa” kerana Setiap nikmat yang anda perolehi itu, jangan lupa bahawa ada yang mendengkinya seperti disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya;
Mafhumnya: “Berahsialah ketika melaksanakan keperluan-keperluanmu, kerana sesungguhnya setiap yang mendapatkan nikmat ada yang hasad (kepadanya)”.
(Hadis Sahih, diriwayatkan oleh al-Imam al-Thabrani).

Jangan menetapkan bayaran untuk rawatan

Prinsip kita memberikan rawatan adalah secara percuma, walaupun syariat Islam tidak menghalang kita menerima pemberian daripada pesakit. Janganlah menetapkan bayaran sebelum dan selepas merawat pesakit. Rawatan yang diberikan hendaklah dengan niat ikhlas kerana Allah SWT. Kita berserah kepada Allah SWT dan membiarkan-Nya memberikan balasan kepada kita. Yang manakah yang lebih baik balasannya? daripada manusia atau daripada Allah SWT? Kita perlu memahami bahawa manusia bersifat kedekut, suka berkira, suka mengungkit, kadang kala sifat manusia ini menyakitkan hati kita. Kita hanya meminta supaya Allah SWT sahaja yang membalas, kerana Dialah sahaja yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi.

Wajib menyimpan rahsia pesakit

Ketika dirawat, kadangkala pesakit menyebutkan perkara-perkara yang tidak benar dan juga perkara-perkara yang mengaibkan, justeru itu adalah wajib bagi kita merahsiakan cerita-cerita yang diberitahukan kepada kita oleh pesakit.

Jangan mengatakan “Buatan Orang atau Kena Sihir”

Ketika memberikan rawatan jangan menyebutkan perkara-perkara yang tidak betul umpamanya mengatakan penyakit itu adalah disebabkan sihir atau buatan orang. Kita tidak mengetahui semua itu, yang maha mengetahui hanya Allah SWT. Kerana perbuatan begini (mengatakan sebab sihir atau buatan orang) boleh memecah-belahkan sesama ahli keluarga pesakit dan inilah yang sangat disukai oleh syaitan.

Memberikan harapan kepada pesakit

Sepatutnya kita memberikan harapan kepada pesakit dengan memberikan keyakinan kepada mereka bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
Mafhumnya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali berserta dengan ubatnya” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari)

Allah SWT menurunkan setiap penyakit dan Allah juga yang menyediakan ubat bagi setiap penyakit. Sesuatu penyakit yang dihidapi oleh seseorang adalah salah satu ujian daripada Allah SWT. Ujian tersebut yang sebenarnya sangat kecil jika dibandingkan dengan rahmat Allah SWT yang diberikan kepada kita adalah sangat besar.

Elakkan daripada menawarkan diri untuk merawat

Kita akan bertemu dengan pelbagai masalah dan kerenah pesakit di dalam masyarakat, jangan menawarkan diri untuk memberikan rawatan sebaliknya berilah rawatan apabila diminta. Ini untuk mengelakkan kita daripada dipersalahkan apabila penyakit itu tidak sembuh atau merebak atau yang lebih buruk daripada itu jika pesakit itu kembali ke rahmatullah.

Berikhtiar dan berserah kepada Allah SWT.

Semua masalah penyakit, kita hanya merujuk kepada Allah SWT.
Daripada-Nya datang segala kebaikan, dan kejahatan tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah SWT.

Kita hanya berikhtiar untuk membantu mereka, ada usaha kita dan doa-doa kita yang dimakbulkan dan ada juga yang Allah SWT tangguhkan, yang paling penting kita berikhtiar bersungguh-sungguh dengan ikhlas kerana Allah SWT.

Jadilah Hamba Allah yang terbaik

Sebaik-baik manusia ialah yang memberikan manfaat kepada orang lain, sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda;
Hadis 05
Mafhumnya:Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya (Hadis sahih, diriwayatkan oleh Ahmad dan Thabrani)

Saudara perlu mempunyai azam untuk menjadi hamba Allah yang terbaik. Tinggalkanlah segala yang haram dan ambillah yang halal sahaja. Berilah bantuan kepada masyarakat yang datang kepada kita dan memerlukan pertolongan kita.

Sunday, June 7, 2009

AYAH...




ketika berjauhan,
masihku rasa hangat kasihmu ayah,
betapaku rindukan redup wajahmu,
hadir menemaniku..

terbayang ketenangan,
yang selalu kau pamerkan,
bagaikan tiada keresahan..

walau hatimu sering terluka,
tika diriku terlanjur kata,
tak pernah sekali kau tinggalkan,
diriku sendirian..

ketikaku dalam kedukaan,
kau mendakap penuh pengertian,
disaat diriku kehampaan,
kau setia mengajarku,
erti kekuatan..

terpancar kebanggaan,
dalam senyummu,
melihatku berjaya,
bilaku kegagalan,
tak kau biarkan,
aku terus kecewa..

dengan kata azimat,
engkau nyalakan semangat,
restu dan doa kau iringkan..

walau hatimu sering terluka..

tak dapatku bayangkan,
hidupku ayah,
tanpa engkau disisi,
semua kasih sayang,
yang kau curahkan,
tersemat dihati.....



....SELAMAT HARI BAPA...
KU UCAPKAN..
kepada BAPA ku yang tersayang..
SHAHAR OJAIMI

ikhlas daripada puterimu,
BADRIAH NUR'AIN BINTI SHAHAR...




Thursday, June 4, 2009

Calon Solehah

alhafiz menulis "Usai berdoa seperti kelaziman, dia meraup wajahnya. Sunat selepas maghrib menjadi penutup ibadah senjanya lewat petang itu. Hajat memang ada untuk sama-sama meraih pahala berganda di masjid, namun keletihan diri terlebih dahulu merantai keinginan mulia itu. Serik rasanya beradu kekuatan di padang bola bersama dengan orang Arab. Ganas, agresif dan kasar. Semuanya bersatu dan berpadu dan membuahkan natijah yang kurang menyenangkannya. Tersungkur jugak dia dibentes lawan. Tangannya mencapai minyak habbatussauda’ untuk disapukan pada bahagian yang sudah nampak lebam biru kehitaman. Kakinya hampir saja kejang.

Aduh! Dia mengeluh. Matanya terpaku pada penanda buku unik yang terselit malu pada Tafsir Quran. Jamahan matanya menyatakan dalam kiasan nurani penanda buku itu unik rekaannya. Seunik bicara dan hujah pemberi “book mark” itu. Kemas dengan kesan “liminate”, berukuran comel 30cm panjang kali 5cm lebar. Kalimah bertinta ungu itu menarik perhatiannya malah tersemat utuh di hatinya. Terkesan siapa yang membaca hikmah puitis itu.

“Layakkah kita untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta kita pada Pencipta manusia itu masih belum mantap. Tepuklah dada tanyalah iman.”

Semusim percutianku sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk ini, sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam pada hatiku. Alasan yang aku kemukakan semata-mata untuk mengelak apabila Tok Ayah persoalkan tentang jodoh ternyata membuahkan satu mutiara kenangan. Kenangan yang menautkan dua hati melalui penyatuan idea mengenai CALON SOLEHAH.

“Mencari seorang calon isteri yang solehah bolehlah kita umpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka lazimnya semakin susah untuk kita dapatkan. Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat…lewat menunaikan seru,”
“ Hafiz, kamu tidak mahu berkahwin ke?” eh, tiba-tiba pula Tok Ayah mengutarakan soalan cepu mas ini. Pengajian memang sudah tamat namun hajat di hati ingin menyambung ke peringkat sarjana masih segar.
“Bukan tak berkeinginan Tok Ayah tapi..hajat nak mencari yang solehah. Biar dunia tidak berat sebelah,” harap-harap inilah alasan yang agak kukuh. “Nak cari yang benar-benar solehah, bukanlah satu usaha yang mudah. Nak yang solat di awal waktu, hormati ibu dan ayah, pandai mengaji Quran, menutup aurat..ish, banyak sungguh ciri-ciri kamu Hafiz..alamat, sampai Tok Ayah berumah kat batu dua lah baru sampai hajat..”
“ Susahlah Tok Ayah…yang sipi-sipi ada lah jugak jumpa…”sempat juga aku melontarkan idea spontan aku. Tok Ayah hanya menggeleng.

Pertemuan dengan Raihanah berlaku secara tidak sengaja, ketika bersama-sama Tok Ayah singgah ke warung pagi itu. Suka benar Tok Ayah dengan nasi lemak air tangan ibu saudara Raihanah. Dia kurang mengenali siapa Raihanah. Malah daripada cerita ibu saudaranya itu Raihanah adalah anak abangnya yang tinggal di Kedah. Tamat pengajian gadis itu bermastautin sementara di kampungnya. manis tapi jarang tersenyum. Kulit asianya terlindung di sebalik baju t-shirt labuh paras lutut dan bertangan panjang itu, dengan tudung turki bercorak flora. Tiada yang istimewa sangat! Namun peristiwa malam itu di surau ternyata membuktikan bahawa gadis itu bukanlah sebarangan gadis. Mempunyai daya tarikan pada yang tahu menilai mutiara wangian syurga ini.

“calon isteri yang solehah…orang lelaki nak yang solehah sahaja, tapi kadangkala diri sendiri dia tak check betul-betul,” ngomel seorang gadis ketika perbincangan ilmiah pada malam itu apabila Tok Ayah menyatakan mengenai topic tersebut. Aku sekadar tersenyum. Kelaziman kuliah maghrib lebih berbentuk ilmiah untuk menarik golongan muda bersama-sama meluahkan pendapat. Mendengar kata-kata gadis itu aku tersenyum sendirian.
“Raihanah ada sebarang pendapat?” soal tok ayah apabila gadis bertelekung putih itu hanya sekadar menjadi pemerhati debat tidak formal itu.
“sekadar pendapat tok ayah…jika kita nak bakal zaujah kita seorang yang solehah, yang bertaqwa saya ada satu tips,”riuh seketika.
“sebelum kita kaji dan telek bakal isteri kita paling afdal kita telek diri kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita,” aku sedikit terkelu.
Macamana agaknya? Namun persoalan itu hanya berlegar-legar di fikiran kosong aku, tidak terluah.
“nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan dulu diri anda. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah untuk bakal suami yang soleh. tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh. Aku mengangguk tanda setuju dengan pendapat bernas itu.
“tapi, ada jaminan ke kita akan mendapat bakal isteri yang solehah?” ada qariah muda berani untuk mengutarakan soalan.
“Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah. Jodoh adalah kerja Allah. Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat.”
Raihanah melepas lelah barangkali. Lalu dia tersenyum. “ teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi,”
“Kenapa pulak?” Tanya Tok Ayah. Eh, Tok ayah pun mengambil bahagian juga?
“bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi. insyaAllah jika ada yang kurang pada bakal zaujah, tampunglah selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa janganlah diambil remah. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan kita. Mengambil kata-kata daripada laman Kemudi hati dalam Anis, kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya…itu adalah silap tafsir.”
Alhamdulillah, sekarang terbuka sudah pemikiran ruang lingkup. Aku tersenyum. Terima kasih Raihanah. Tok Ayah juga tersenyum.
Ada hikmah di sebalik semua ini.
“hafiz, ada
surat untuk anta daripada Malaysia…”kenyitan mata Syahid sewaktu menyerahkan surat bersampul ungu itu diikuti dengan gelak tawa rafiknya yang lain mematikan lamunannya.

Senyuman yang berbunga di bibir Syahid seolah-olah memberitahunya bahawa warkah itu sudah pastinya daripada tunangannya, Raihanah.. calon pilihan Tok Ayah, dan juga hatinya yang kini sedang meneruskan pengajian peringkat sarjana Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Alhamdulillah, gadis inilah yang telah menemukannya titik noktah pencarian calon solehah.

Syukur Ya Allah.